Saturday, July 2, 2011

Setelah Bergelar Zaujah

Alhamdulillah...Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Dengan izin dariNya hari ini genaplah 5 bulan ana bergelar zaujah kepada suami tercinta, Muhammad Akram Bin Azmi.

Walaupun persiapan dari segi mental dan fizikal mula dipersiapkan sebelum awal perkahwinan lagi, dan juga pelbagai bahan bacaan telahpun dihadam untuk diaplikasikan dalam rumahtangga kami, namun ana masih lagi dalam proses untuk belajar dan terus belajar. Bak kata pepatah, "Ilmu yang kita ada hanyalah ibarat sebutir pasir dipantai yang tiada kesudahan".


InsyaAllah, setelah hampir 5 bulan ana mula melalui kehidupan realiti sebagai seorang zaujah, dan memahami realiti hidup apakah makna perkongsian bersama pasangan, sedikit sebanyak perkongsian yang ingin ana kongsikan ini khas buat tatapan sahabat-sahabat ana yang bakal melalui kehidupan sebenar sebagai seorang zaujah. Semoga ia bermanfaat buat kita semua !

1. Bantu membantu sesama satu sama lain

Mungkin semasa antum hidup sendirian dahulu, segala urusan cuci mencuci, kemas mengemas dan sebagainya dibuat dalam kadar yang minimum, bukan lagi setelah bergelar seorang isteri. Walaupun seorang isteri tidak wajib untuk melakukan segala kerja rumah, dan tanggungjawab seorang isteri hanyalah melayan suaminya, namun bagi ana tiada salahnya kita sebagai seorang isteri untuk membantu meringankan tugas suami. Bagi ana, kehadiran kita dalam hidupnya sedikit sebanyak dapat membantu suami dalam menguruskan kehidupan sehariannya. Apa salahnya jika antum, bantu untuk mempersiapkan pakaian yang bakal digunakan oleh suami untuk bekerja, menghadiri majlis-majlis keramaian dan sebagainya. Cara ini sedikit sebanyak dapat menambah kasih seorang suami kepada isteri mereka. insyaAllah.


2. Menghormati setiap pandagan suami dan sentiasa bermusyawarah

Kadangkala seorang suami ada pandangannya yang tersendiri dalam menjaga keharmonian rumahtangga. Mungkin sebelum perkahwinan, suami bersetuju agar isteri mereka dapat meneruskan pengajian ataupun hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Namun selepas berkahwin, suami memberi pendapat agar isteri menangguhkan dahulu pengajian ataupun bekerja buat sementara waktu atas sebab-sebab yang tertentu. Mungkin kewangan suami pada ketika itu memerlukannya untuk fokus kepada sesuatu yang lebih utama untuk diselesaikan. Hormati keputusan suami antum, tidak rugi jika antum menghormati keputusannya dan membantunya jika suami dalam masalah selagi antum mampu untuk membantu. Berbincang dan carilah keputusan yang terbaik, tidak rugi orang yang bermusyawarah !


3. Berterus terang dalam setiap perkara

Biasakan dengan sikap berterus terang agar dapat mengelakkan segala prasangka yang buruk terhadap pasangan antum. Jangan dipendam dalam hati, ia sedikit sebanyak dapat memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan. Malah jika ada sesuatu yang terbuku dihati, ambil masa dan luahkan. InsyaAllah, jika ia melibatkan sikap suami yang membuatkan kita tidak selesa, apabila si isteri berterus terang, insyaAllah suami dapat menerimanya dan sedikit-sedikit perubahan akan dilakukan oleh suami demi menjaga keharmonian rumah tangganya.


4. Jadilah isteri yang solehah

Tanamkan semangat untuk menjadi isteri yang solehah, hidup ini perlu ada matlamat dan tujuan kan?. Pasti kita akan memastikan matlamat itu tercapai. Pasangkan niat ketika antum berkahwin bahawa antum ingin mendapat kebahagiaan didunia dan diakhirat bersama pasangan antum dan memperolehi zuriat yang soleh dan solehah.


5. Masa untuk melakukan aktiviti bersama

Kadangkala suami dan isteri tidak mempunyai masa untuk beriadah bersama-sama disebabkan oleh kekangan masa antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika isteri bekerja siang dan suami bekerja malam. Pasti masa untuk bertemu suami itu terhad. Manfaatkan hujung minggu yang antum ada untuk beriadah bersama. Jangan pula hujung minggu yang antum ada digunakan sepenuhnya untuk mengemas, mencuci dan sebagainya sehingga terlupa untuk diluangkan kepada suami tersayang. Lakukan aktiviti riadah yang simple seperti berkebun bersama, bermain badminton, jalan-jalan di taman dan lain-lain lagi.


InsyaAllah dengan sedikit perkongsian hasil daripada pengalaman ana bergelar seorang zaujah, dapat membantu antum dalam melayari bahtera rumah tangga yang bakal dibina nanti.


Semoga Allah permudahkan setiap tindakan kita dalam menggapai redha dariNya !


Regards,

Sis Eisma

No comments:

Post a Comment